Selasa, 8 Jun 2010

Kereta Kebal Utama (MBT) PT 91 Malaysia

PEMBELIAN 48 buah kereta kebal utama (MBT) PT-91M berserta sembilan kenderaan sokongan lain dari Poland pada 2003 telah mengubah landskap pertahanan negara khususnya bagi tentera darat.


Perolehan aset tersebut turut memberi penggandaan kuasa dan meningkatkan kuasa tembak yang belum pernah dirasai oleh Kor Armor Diraja sebelum ini. Kereta kebal itu seterusnya dinamakan Pendekar, sesuai dengan peranannya sebagai mata dan hujung tombak ketumbukan tentera darat sama ada ketika melakukan operasi ofensif mahu pun semasa bertahan. Penggandaan kuasa itu lahir kerana Pendekar mempunyai kemampuan mobiliti, kuasa tembak dan perlindungan armor yang sesuai dengan persekitaran muka bumi negara.


Paling menggerunkan, kuasa tembak daripada meriam Smoothbore 2A46MS berkaliber 125 milimeter buatan Slovakia dengan peningkatan ketepatan tembakan sehingga 23 peratus berbanding meriam asal. Ia mampu memusnahkan semua jenis kereta kebal yang ada di dunia pada hari ini sehingga jarak lima kilometer.


Gabungan teknologi Slovakia dan Perancis itu membolehkan meriam utama Pendekar memuntahkan sehingga 10 tembakan seminit bagi semua jenis peluru sama ada APFSDS, HEAT dan HE tanpa sebarang masalah - tidak kira ketika sedang bergerak laju atau dalam keadaan pegun.


Kegagahan PT-91M bukan hanya terletak pada meriam utamanya tetapi turut disokong dengan sistem navigasi SIGMA 30 dan blok armor reaktif ERAWA-2 pada bahagian hadapan, bumbung dan sisi hadapan. Ia bertujuan mengurangkan impak hentaman daripada sistem peluru berpandu anti-armor dan juga perobek armor.


APC Terbaru 8x8 Tentera Malaysia

20 April -- DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) hari ini ditawarkan kontrak bernilai RM8 bilion untuk membekalkan kenderaan perisai pembawa anggota 8x8 bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia.

Pengerusi Deftech merangkap Pengarah Urusan Kumpulan DRB Hicom Berhad, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, Deftech akan membekal sebanyak 257 buah kenderaan tersebut yang dijangka diserahkan sepenuhnya pada 2016.

Beliau berkata untuk permulaan sejumlah kenderaan tersebut yang sedang dalam proses pembuatan, akan diserahkan kepada ATM pada Januari 2012.

"Kereta perisai itu akan dibekalkan kepada ATM bagi menggantikan lebih 400 kereta perisai sedia ada.

"Objektif utama adalah untuk meningkatkan keupayaan dan kepakaran dalam industri pertahanan negara kerana ianya akan dibangunkan, dibuat, dibekal dan dihantar secara tempatan," katanya kepada pemberita pada Persidangan dan Pameran Pertahanan Perkhidmatan Asia di sini hari Selasa.

Beliau berkata kenderaan berkenaan merupakan kenderaan generasi baru yang direka bagi memenuhi keperluan peperangan moden dari operasi pelbagai spektrum peperangan untuk beroperasi dalam persekitaran urban.

Katanya ia bertujuan menggantikan kenderaan perisai pembawa anggota Sibmas AFSV 6x6 dan RPZ Condor 4x4 dalam tentera Malaysia.

Deftech sebelum itu memeterai perjanjian dengan dua syarikat antarabangsa dari Turki dan Afrika Selatan serta sebuah syarikat tempatan bagi pembinaan kereta perisai itu.

Syarikat dari Turki dan Afrika Selatan itu masing-masing adalah FNSS dan Denel manakala syarikat tempatan yang turut sama terbabit dalam perjanjian itu adalah Sapura Thales Electronic (STE).

Deftech, anak syarikat milik penuh DRB-Hicom Berhad, merupakan peserta terbesar di pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2010 (DSA 2010) dengan menguasai 1,700 meter persegi ruang pameran, paling luas pada acara kali ini.




Kapal Selam Terbaru Malaysia

Scorpene Aset Terkini Tentera Malaysia

Kapal selam jenis Scorpene yang diberi nama KD Tunku Abdul Rahman itu memulakan pelayaran 9 Julai lepas dan singgah di Jeddah dan beberapa pelabuhan lain sebelum singgah di Pulau Indah, Pelabuhan Klang. Anggota krew kapal selam telah diberi sambutan meriah oleh anggota keluarga yang menunggu. Turut hadir pada ketika itu, Yang DiPertuan Agong Sultan Mizan bersama Panglima Angkatan Tentera dan kehormat lain.

Pada 2002 kerajaan Malaysia membeli dua kapal selam yang dibina bersama oleh syarikat Perancis DCNS dan syarikat pengeluar kapal selam, Navantia dari Sepanyol, di Cherbourg, Perancis. Pada Januari lepas, kapal selam itu diserah secara rasmi kepada TLDM di pangkalan tentera di Toulon, Perancis. Ia dikendalikan Komander Zulhelmy Ithnain dari TLDM bersama 35 krew.

Kapal ini yang dinamakan sempena nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman, merupakan kapal selam jenis tempur konvensional, mampu mengawasi perairan negara pada kedalaman 100 hingga 200 meter.