Selasa, 8 Jun 2010

Kereta Kebal Utama (MBT) PT 91 Malaysia

PEMBELIAN 48 buah kereta kebal utama (MBT) PT-91M berserta sembilan kenderaan sokongan lain dari Poland pada 2003 telah mengubah landskap pertahanan negara khususnya bagi tentera darat.


Perolehan aset tersebut turut memberi penggandaan kuasa dan meningkatkan kuasa tembak yang belum pernah dirasai oleh Kor Armor Diraja sebelum ini. Kereta kebal itu seterusnya dinamakan Pendekar, sesuai dengan peranannya sebagai mata dan hujung tombak ketumbukan tentera darat sama ada ketika melakukan operasi ofensif mahu pun semasa bertahan. Penggandaan kuasa itu lahir kerana Pendekar mempunyai kemampuan mobiliti, kuasa tembak dan perlindungan armor yang sesuai dengan persekitaran muka bumi negara.


Paling menggerunkan, kuasa tembak daripada meriam Smoothbore 2A46MS berkaliber 125 milimeter buatan Slovakia dengan peningkatan ketepatan tembakan sehingga 23 peratus berbanding meriam asal. Ia mampu memusnahkan semua jenis kereta kebal yang ada di dunia pada hari ini sehingga jarak lima kilometer.


Gabungan teknologi Slovakia dan Perancis itu membolehkan meriam utama Pendekar memuntahkan sehingga 10 tembakan seminit bagi semua jenis peluru sama ada APFSDS, HEAT dan HE tanpa sebarang masalah - tidak kira ketika sedang bergerak laju atau dalam keadaan pegun.


Kegagahan PT-91M bukan hanya terletak pada meriam utamanya tetapi turut disokong dengan sistem navigasi SIGMA 30 dan blok armor reaktif ERAWA-2 pada bahagian hadapan, bumbung dan sisi hadapan. Ia bertujuan mengurangkan impak hentaman daripada sistem peluru berpandu anti-armor dan juga perobek armor.