Selasa, 8 Jun 2010

APC Terbaru 8x8 Tentera Malaysia

20 April -- DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) hari ini ditawarkan kontrak bernilai RM8 bilion untuk membekalkan kenderaan perisai pembawa anggota 8x8 bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia.

Pengerusi Deftech merangkap Pengarah Urusan Kumpulan DRB Hicom Berhad, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil, Deftech akan membekal sebanyak 257 buah kenderaan tersebut yang dijangka diserahkan sepenuhnya pada 2016.

Beliau berkata untuk permulaan sejumlah kenderaan tersebut yang sedang dalam proses pembuatan, akan diserahkan kepada ATM pada Januari 2012.

"Kereta perisai itu akan dibekalkan kepada ATM bagi menggantikan lebih 400 kereta perisai sedia ada.

"Objektif utama adalah untuk meningkatkan keupayaan dan kepakaran dalam industri pertahanan negara kerana ianya akan dibangunkan, dibuat, dibekal dan dihantar secara tempatan," katanya kepada pemberita pada Persidangan dan Pameran Pertahanan Perkhidmatan Asia di sini hari Selasa.

Beliau berkata kenderaan berkenaan merupakan kenderaan generasi baru yang direka bagi memenuhi keperluan peperangan moden dari operasi pelbagai spektrum peperangan untuk beroperasi dalam persekitaran urban.

Katanya ia bertujuan menggantikan kenderaan perisai pembawa anggota Sibmas AFSV 6x6 dan RPZ Condor 4x4 dalam tentera Malaysia.

Deftech sebelum itu memeterai perjanjian dengan dua syarikat antarabangsa dari Turki dan Afrika Selatan serta sebuah syarikat tempatan bagi pembinaan kereta perisai itu.

Syarikat dari Turki dan Afrika Selatan itu masing-masing adalah FNSS dan Denel manakala syarikat tempatan yang turut sama terbabit dalam perjanjian itu adalah Sapura Thales Electronic (STE).

Deftech, anak syarikat milik penuh DRB-Hicom Berhad, merupakan peserta terbesar di pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2010 (DSA 2010) dengan menguasai 1,700 meter persegi ruang pameran, paling luas pada acara kali ini.